Inilah dia serba sedikit bahan dari sidang Dewan Rakyat yg ku hadiri semalam,11 April.
Ia nya berkaitan dengan penjagaan ibu bapa oleh si anak.Di minta sama2 mengambil iktibar..
Kerajaan disaran memotong gaji anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas dan pada masa sama, memberi insentif tertentu seperti potongan cukai kepada mereka yang sanggup menjaga orang tua sendiri.
Mohd. Yusof Majid (BN-Setiu) yang mencadangkan perkara itu berkata, langkah memotong gaji akan menyedarkan anak-anak supaya lebih menghargai dan bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka.
Cadangan beliau itu turut dipersetujui Datuk Mahadzir Mohd. Khir (BN-Sungai Petani) ketika membahaskan Rang Undang-undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2006 di Dewan Rakyat hari ini.
‘‘Saya setuju dengan pandangan Yang Berhormat, ini supaya tugas menjaga orang tua bukan menjadi satu beban tetapi tanggungjawab kepada anak-anak,” katanya.
Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun) yang bangun mencelah kemudian mencadangkan supaya kerajaan menyediakan satu akta atau undang-undang baru bagi memastikan anak-anak lebih bertanggungjawab jika mahu menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan warga emas.
Beliau turut mencadangkan supaya Rang Undang-undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2006 dipinda bagi memastikan matlamat mewujudkan masyarakat penyayang tercapai.
Isu itu terus menarik perhatian ahli Parlimen lain termasuk Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) yang memberi cadangan drastik iaitu menutup pusat-pusat jagaan warga emas supaya anak-anak tidak melepaskan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang telah membesarkan mereka selama ini.
‘‘Kerajaan jangan mengambil tanggungjawab untuk menjaga orang tua ini. Biar kita keluarkan dalam akhbar siapa bapa yang tak terjaga dan minta anak dia ambil,” katanya.
Bagi beliau, anak-anak zaman ini ‘derhaka’ hingga sanggup menghantar ibu bapa ke pusat jagaan warga emas.
Datuk Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) pula berkata, rang undang-undang yang sedang dibahaskan bukan untuk menggalakkan anak-anak menghantar ibu bapa ke pusat jagaan.
‘‘Peruntukan itu untuk memastikan orang tua terbela dan anak-anak pula bertanggungjawab menyediakan keperluan mereka,’’ ujarnya.
Pandangan itu turut disokong Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) yang melahirkan kehairanan dengan penggunaan istilah warga emas yang tidak berpadanan dengan layanan ke atasnya.
‘‘Sebenarnya emas ni kena simpan, tetapi warga emas atau usia emas dihantar ke tempat lain. Dilabur ke rumah orang tua,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pusat jagaan orang tua diberi wajah baru, dilengkapkan dengan kemudahan yang selesa dan tidak beroperasi seperti pusat tahanan atau pusat serenti.
No comments:
Post a Comment